Program Kolej Komuniti Bersama Rakyat di DUN Galas

Peserta tengah kusyuk mendengar penerangan dari Puan Penceramah.

Minggu lepas iaitu pada 27 & 28 Oktober 2010, aku telah ditugaskan untuk mengendalikan kursus pendek bersempena dengan  Program Kolej Komuniti Bersama Rakyat yang telah dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Kolej Komuniti dengan kerjasama berberapa Kolej Komuniti termasuklah Kolej Komuniti Temerloh. Antara kolej lain yang terlibat adalah Kolej Komuniti Cawangan Jeli, Kolej Komuniti Kok Lanas, Kolej Komuniti Cawangan Raub dan  Kolej Komuniti Pasir Mas. Lokasinya adalah sekitar kawasan DUN Galas di Gua Musang dan semestinya program ini ada kaitannya dengan Pilihanraya yang akan berlangsung esok, 4 November 2010. Kolej Komuniti Temerloh dibantu oleh seorang pensyarah dari Kolej Komuniti Cawangan Lipis.

Program yang  agak tergesa-gesa tanpa perancangan lebih awal menyebabkan persediaan yang dibuat juga agak kelam kabut. Setelah mendapat arahan dari Tuan Pengarah untuk mengendalikan kursus pendek, kata sepakat dibuat Kursus Penghasilan Puding Mexico dipilih untuk dipersembahkan semasa program tersebut. Pemilihannya atas cadangan aku sendiri di mana aku sendiri juga yang bertindak sebagai Penceramah. Tambahan lagi penghasilan puding tersebut tidak memerlukan penyediaan bahan yang rumit dan tidak memakan masa yang lama.

Sementelah kolej belum pernah membeli peralatan untuk masakan, makanya terpaksalah juga menguruskan pembelian barang-barang dalam masa yang agak singkat. Nasib dipermudahkan segala urusan dan mendapat kerjasama yang padu dari syarikat yang terlibat. Segala urusan berjalan lancar walaupun adakalanya terpaksa makan hati dengan sikap sesetengah pihak, namun dengan niat yang murni ingin berkongsi ilmu, ditelan segala kepahitan. Alah bisa tegal biasa, nama pun hidup.

Setelah selesai segala urusan pembelian barang, jam 5 petang 26 Oktober, aku bersama seorang  lagi pensyarah dan dua orang pelajar bertolak ke Kuala Lipis. Kami bermalam di Kuala Lipis memandangkan semua hotel di Gua Musang telah penuh. Dari Kuala Lipis akan berulang alik ke Gua Musang. Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam sangat-sangat menguji ketahanan hati ditambah pula dengan jalan yang agak berbahaya. Syukur Alhamdulillah perjalanan kami selamat dan dilindungi oleh Allah SWT.

Hari pertama kami ditugaskan di Taman Wangi bersama dengan Kolej Komuniti Cawangan Jeli. Sesampai di sana, sekali lagi kesabaran diuji di mana tempat yang akan digunakan untuk mengajar kursus pendek teramatlah kotor dan sangat tidak sesuai untuk digunakan sebagai tempat memasak. Berhabuk, sampah sarap, berair dan berselerak. Hampir-hampir putus asa melihatkan keadaan tersebut, namun apa yang boleh dbuat. Mahu tidak mahu, kursus masih perlu  dijalankan. Makanya bermulalah proses “Cleaning” dengan berbekalkan mop dan penyapu yang dipinjam dari jiran sebelah.  Cuba bayangkan kepenatan yang dialami, memandu sejauh 2 jam, membasuh peralatan yang perlu digunakan, membersihkan dan menyusun atur kawasan memasak dan kemudiannya terus mengajar. Namun semua itu tidak langsung mematahkan semangat. Tambahan pula apabila melihat peserta berebut-berebut mendaftar dan tidak sabar untuk belajar membuat Puding Mexico. Sokongan padu dari Tuan Pengarah yang “turun padang” bersama-sama kami turut menyuntik semangat kami.

Hari kedua pula kami ditugaskan di KRT Kampung Sungai Terah di mana Menteri Pengajian Tinggi, YB. DATO SERI MOHAMED KHALED NORDIN telah turun untuk merasmikan program tersebut.  Kursus yang terlibat pada hari tersebut adalah sebanyak empat kursus dari kolej yang berlainan. Kursus yang bermula jam 10 Pagi berakhir jam 12.30 Tengahari. Perjalanan kursus agak lancar tanpa ada masalah yang timbul. Setelah selesai kursus terus bergerak pulang ke kampung aku di Labok, Machang. Hilang segala kepenatan mengenangkan keluarga tercinta.

Itulah antara rentetan peristiwa yang berlaku di Gua Musang. Banyak pengalaman baru yang dapat ditimba. Sangat seronok mengajar “makcik-makcik” yang memang minat nak belajar dan berkongsi ilmu yang ada. Tambahan bila mendapat pujian berkenaan dengan kursus yang diajar. Lepas ni akan cuba buat kursus tersebut di kolej pula. Gambar-gambar di bawah adalah antara yang sempat dirakam semasa kursus berlangsung. Jutaan penghargaan diberikan kepada Nurrul, Yam (KK Cawangan Lipis), Din Admin, En. Din driver, Anip, Nurlis dan Ain (pelajar) dan tidak lupa juga kepada En. Razak (Tuan Pengarah yang baik hati) kerana memberi kepercayaan kepada kami mengendalikan kursus pada program tersebut.



You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *